Memaparkan catatan dengan label Info & Tips Sihat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Info & Tips Sihat. Papar semua catatan

Isnin, 23 Januari 2017

Apa sebenarnya yang perempuan rasa bila meroyan? - Dr Taufiq Razif

Assalamualaikum..

google
Penerangan dari Dr Taufiq Razif..

Kenapa ada ibu sanggup tikam anak sendiri?
Hari ni mood saya agak suram. Mana tak suram bila terbaca berita tergempar yang mana seorang ibu sanggup tikam anak sendiri bertubi tubi sebanyak 20 tikaman! Dan salah satu tikaman tu menyebabkan usus anaknya terburai keluar!
Saya sedih tapi saya tak pelik. Dalam dunia perubatan benda ni sebenarnya memang wujud. Penyakit ni dinamakan Pospartum Psychosis. Orang Melayu kita biasa panggil Meroyan.
Dalam dunia perubatan ada 3 peringkat penyakit yang kita biasa sebut Meroyan ni.
1. Baby blues
Baby blues ni kiranya level meroyan paling rendah la. Biasanya berlaku dua tiga hari lepas bersalin dan boleh berlanjutan sampai dua minggu lamanya.
Benda ni agak biasa la untuk ibu yang baru beranak pertama kali kan. Yela, malam yang dulunya sunyi sekarang dihiasi tangisan bayi kecil yang nyaring dan kuat tu sampai ke pagi. Dengan jadual waktu tidur si ibu yang entah ke mana dan ditambah lagi dengan suami yang tak reti nak membantu memang la si ibu jadi mudah stress. Suami yang nampak tahi hijau baby pun dah muntah hijau memang membuat si ibu bertambah stress.
Tanda-tanda si ibu dah kena baby blues ni adalah :
+ mood swing
+ mudah cemas
+ selalu menangis
+ kurang selera makan
+ susah tidur
2. Pospartum depression
Ni level Meroyan yang pertengahan. Penyakit ni macam Baby Blues jugak tapi simptomnya lebih teruk dan lebih lama. Biasanya boleh sampai 6 bulan lepas bersalin. Ibu yang kena Pospartum Depression ni biasanya nak jaga baby dia sendiri pun dah tak berapa nak mampu.
Antara tanda-tanda dah kena penyakit ni :
+ mood swing yang teruk
+ menangis yang melampau lampau
+ susah nak bonding dengan baby. Kadang ada rasa benci kat baby sendiri
+ rasa takde tenaga dan tak boleh tidur
+ rasa nak hempas baby ataupun cederakan baby
+ rasa diri tak berguna
3. Pospartum Psychosis
Ni level Meroyan yang paling dasyat. Biasanya yang kena penyakit ni akan berhalusinasi. Kalau si isteri yang dalam pantang dah mula merepek cakap yang bukan bukan atau dia cakap nampak benda yang bukan bukan sila berhati hati. Macam kes Pretty yang sanggup bunuh anaknya sendiri. Bila disoal siasat dia boleh pulak cakap dia cuma bunuh perompak je.
Memang ibu yang kena Pospartum Psychosis ni tak boleh jaga anak sendiri sebab masa tu fikiran dia dah tak rasional dah. Sebab tu suami yang ada isteri baru lepas bersalin sila jaga fizikal dan mental isteri baik-baik. Jangan bagi isteri stress walaupun sedikit.
Jangan bagi isteri fikir kain kat jemuran dah angkat ke belum. Jangan bagi isteri fikir pinggan kat dapur dah cuci ke belum. Biarlah isteri kita cuma fokus pada baby yang baru lahir je. Biarlah dia menyusu dengan penuh tenang dan tenteram. Isteri kita baru je mengalami kesakitan fizikal yang sangat dasyat masa melahirkan zuriat kita, jangan la kita tambah kesakitan pada jiwanya pula ye. Lebih-lebih lagi dalam tempoh berpantang.
Jom bantu isteri kita!
P/ S : Saya Taufiq Razif bukan doktor sakit jiwa tapi saya rasa ilmu ni semua suami kat dunia WAJIB tahu! Bahaya sangat bila suami takde ilmu nak kenalpasti tahap stress si isteri yang baru lepas bersalin. Sila la tag dan share pada pasangan masing-masing. Semoga bermanfaat.
Apa sebenarnya yang perempuan rasa bila meroyan?
Saya terkejut besar sehari dua ni bila baca Private Message ( PM ) dan komen-komen sahabat Facebook saya. Rupanya ramai perempuan yang dah ada tanda-tanda terkena penyakit Meroyan tapi orang sekeliling tak sedar dan tak amik kisah pun lebih-lebih lagi suami sendiri.

Saya tahu mungkin para suami masa tu pun tengah pening untuk menyesuaikan diri dengan kedatangan orang baru dalam rumahtangga mereka. Pening fikirkan duit susu anak. Pening fikirkan jadual bertungku isteri. Pening fikirkan lauk pantang isteri. Pening fikirkan bila nak buat aqiqah baby dan banyak lagi tapi kesihatan dalaman dan mental isteri tak boleh dipandang sebelah mata. Bahaya besar tu kalau terlepas pandang!

Si isteri pulak kalau dah sedar diri tu ada tanda-tanda nak meroyan kena la bagitahu suami ye. Bagitahu elok-elok. Jangan takut untuk bagitahu suami sendiri. Suami sendiri kan. Bukan orang luar pun. Kalau orang luar mungkin diorang akan ingat kita ni dah gila tapi kalau suami ni biasanya dia akan cuba sedaya upaya untuk bantu kita dalaman mahupun luaran.

Antara tanda-tanda diri kita terkena penyakit Meroyan yang teruk ( Postpartum Psychosis ) ialah :

+ mendengar suara yang entah dari mana menyuruh kita melakukan sesuatu ataupun mengkritik orang di sekeliling kita . Suara tu boleh berupa suara televisyen, suara radio ataupun suara manusia berbisik. Suara tu juga boleh berupa suara yang terngiang ngiang di dalam kepala dan tak boleh dihilangkan walaupun dah bermacam cara dibuat untuk menghilangkannya.

+ tiba-tiba merasakan orang di sekeliling kita sedang berpakat untuk mencederakan atau menyakiti kita. Boleh jadi tiba-tiba kita curiga dengan orang yang selama ni kita percaya. Boleh jadi juga kita merasakan orang sekeliling kita cuba menyakiti dan membunuh baby kita

+ secara tiba-tiba merasakan diri sendiri mempunyai kelebihan dan kekuatan luarbiasa yang melebihi orang normal. Rasa diri sangat kuat dan tak perlukan tidur walaupun secara realitinya fizikal kita dah sangat lemah dan perlukan rehat tapi otak kita tak mampu berhenti berfikir

+ merasakan ingatan, hafalan dan fokus makin tumpul. Kita susah nak fokus buat sesuatu perkara. Contohnya kita dah lupa resepi masakan yang biasa kita buat selama ni ataupun kita dah mula lupa jalan yang biasa kita gunakan untuk ke pasaraya ataupun pejabat

+ kita merasakan masa bergerak terlalu pantas ataupun terlalu perlahan. Kita dah tak tahu tarikh, waktu dan tempat kita berada sekarang

+ kadang-kadang kita merasakan ada sesuatu yang selalu merayap rayap di seluruh permukaan kulit kita

+ kita perasan yang orang terdekat kita mengatakan kita berkelakuan aneh padahal kita rasa normal je. Boleh jadi kita tak sedar pun apa yang kita dah buat

+ kita merasakan yang kita takkan boleh sembuh daripada penyakit Meroyan ni dan jalan keluar yang terbaik adalah dengan membunuh diri

Bila kita ataupun suami kita perasan yang kita dah ada tanda-tanda Meroyan ni jangan cepat panik! Kebanyakan orang yang mengalami Postpartum Psychosis ni boleh sembuh secara sempurna. Kebanyakan yang meroyan ni pun biasanya mengalami delusi ataupun halusinasi yang tak memudaratkan diri dan bayi. Hanya 5% je yang dikaitkan dengan bunuh diri  
( suicide rate ) dan hanya 4% je yang melakukan pembunuhan anak kandung sendiri 
( infanticide ).

Suami pulak bila isteri dah ada tanda-tanda meroyan ni jangan la pulak buat tak tahu je. Meroyan tahap dah rasa nak bunuh diri ataupun rasa nak bunuh anak sendiri perlu segera dibawa ke kecemasan. Sila jumpa doktor di bahagian kecemasan ( Emergency Department ) dan ceritakan simptom dan perkara yang dialami isteri.

Ingat! Sokongan suami sangat diperlukan oleh si isteri. Lebih-lebih lagi masa dalam tempoh berpantang. Saya percaya sikap suami masa merawat isteri dalam pantang la yang akan menentukan tahap meroyan si isteri. Saya percaya suami yang tak meminggirkan isteri dan merawat isteri dengan penuh cinta dan kasih sayang semasa dalam tempoh berpantang akan membuatkan hati isteri menjadi tenang dan sekaligus akan menjauhkan isteri daripada penyakit meroyan yang dasyat ni.
P/ S : Saya Taufiq Razif doktor biasa je tapi isteri saya yang sekarang doktor kat Bahagian Kecemasan pesan, "Kalau ada tanda-tanda meroyan ringan macam mood swing yang teruk dan menangis tak berhenti tanpa sebab boleh la ke Klinik Kesihatan yang berdekatan dulu. Nanti doktor di sana akan rujuk pada kaunselor untuk sesi terapi ye". Sila tag dan share pada pasangan masing-masing ye. Bagi saya semua suami kat dunia ni kena tahu ilmu tentang meroyan ni. Baru la hati isteri tenang bila dapat suami yang ada ilmu untuk merawat dan membantu isteri masa tempoh berpantang kan.

Jom bantu isteri kita melalui tempoh berpantang dengan penuh tenang dan tenteram ye.

kredit fb Dr Taufiq Razif

Ahad, 22 Januari 2017

Banyak Khasiat & Kebaikan Buah Tembikai Susu

Assalamualaikum..

Saya bukan penggemar Tembikai Susu..tapi rasanya ramai yang suka makan tembikai susu ni. Rupanya banyak juga khasiat n kebaikan jika kita makan Tembikai Susu . Lepas ni kena mula suka makan la jawabnya..



Tembikai susu terdapat dua jenis utama iaitu yang berwarna kuning pucat dan kuning. Oleh itu kali ini kami ingin berkongsi dengan pembaca tentang khasiat buah tembikai susu yang dipetik dari Wanita.
  • Baik untuk kulit
Tembikai susu kaya dengan Vitamin A, B Komplek dan C yang menjadikan ia makanan paling sesuai untuk menjaga kesihatan kulit dan saraf. Amalan memakan tembikai susu pada setiap hari akan menghasilkan kulit yang bersih dan sihat.
  • Menghindarkan barah
Kajian menunjukkan tembikai susu mengandungi carotenoid, salah satu daripada zat-zat makanan yang boleh menghindarkan barah. Pengambilan tembikai susu dapat memberi perlindungan daripada barah tujuh kali lebih baik daripada pemakanan yang yang mengandungi kandungan karotena yang rendah.
  • Menurunkan berat badan
Bagi mereka yang berhasrat untuk menurunkan berat badan, tembikai susu adalah antara makanan yang sesuai diamalkan pada setiap hari kerana ia mempunyai kandungan air dan serat yang tinggi manakala kalorinya rendah.
  • Mengawal tekanan darah
Tembikai susu adalah sangat berkesan untuk menangani masalah darah tinggi kerana tembikai susu mengandungi potassium. Pottasium mampu mengawal serta mengekalkan paras darah yang sihat dalam tubuh.
  • Merawat penyakit Hepatitis
Tembikai susu adalah antara ramuan utama yang sangat popular dalam dunia perubatan Cina untuk merawat penyakit hepatitis. Di Filifina pula ianya digunakan sebagai ramuan utama untuk merawat mereka yang menghadapi masalah pengaliran darah haid yang tidak lancar manakala di India ianya digunakan untuk mengubati kebengkakan dan ketumbuhan.

sumber dari googel

- Mummy Ira -

Selasa, 20 September 2016

Rahsia Lemon, Penyembuh Semula Jadi

Assalamualaikum

Buah lemon, merupakan sejenis buah-buahan asli Asia yang menarik dengan warna kuning terang. Di seluruh dunia, ia biasa digunakan untuk tujuan kulinari seperti diperah menjadi minuman, diramu dalam masakan serta boleh diparut untuk menambah perisa kek atau kuihmuih yang enak. Kandungan jus lemon diperkaya dengan 5-6% asid sitrik, seterusnya menitipkan rasa masam di sekitar paras pH 2-3.




KHASIAT

Sebiji lemon mampu menghasilkan kira-kira tiga sudu besar pati jus berkuantiti 50ml. Bagi memudahkan ia diperah, lemon perlu disimpan dalam suhu bilik agar jusnya lebih mudah dikeluarkan. Ia mengandungi manfaat karbohidrat, lemak, protein, thiamine (vitamin B1), riboflavin (vitamin B2), niasin (vitamin B3), asid panthothenic (vitamin B5), vitamin B6, folat (vitamin B9), vitamin C, kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, potassium dan zink.
 
Bagi anda yang masih baru mengenali buah ini, menikmati lemon boleh dilakukan melalui beberapa gaya masakan seperti mencuba resipi ayam bersos lemon. Untuk menggalakkan si cilik turut mencubanya, anda mungkin boleh mengolah sendiri aiskrim lemon sorbet, agar-agar lemon, kek lemon atau perah sahaja untuk dijadikan lemonade yang segar! Sambil itu, terangkan kepada yang tersayang beberapa khasiat lemon:


1.Lemon kaya dengan antioksidan yang menyahaktifkan radikal bebas dan menghalang pelbagai penyakit berbahaya seperti strok, penyakit kardiovaskular dan kanser.

2. Jus buah ini membantu menurunkan tekanan darah dan meningkatkan paras kolesterol baik (HDL).

3. Titisan pati lemon pekat di dalam air panas dipercayai dapat membersihkan sistem penghadaman dan hati.

4. Pengambilan jus sitrus ini membantu meningkatkan produksi antibodi di dalam darah untuk menentang pelbagai jangkitan dan serangan mikroorganisma.

5. Kajian menemui khasiat anti-karsinogenik di dalam lemon untuk merendahkan risiko kanser kolon, prostat dan payudara. Ia turut mencegah kerosakan metabolisme dalam sel yang akan menukarnya menjadi karsinogenik.

6. Pesakit jangkitan salur kencing atau genorrhea juga boleh mengambil jus lemon sebagai langkah pencegahan.

7. Amalan menikmati jus lemon setiap hari membantu mengurangkan masalah sakit colic dan gastrik.

8. Amalkan sesudu sirap lemon pekat sehari untuk mengubati asma.

9. Jus lemon amat sesuai diminum untuk mencegah dehidrasi dan kesan diarea. Ia juga membantu memberikan cahaya keserian wajah.

10. Mengalami inflamasi lidah, stomatitis atau gingivitis di dalam mulut? Amalkan meminum jus lemon untuk mengatasinya.

11. Berkumur dengan jus lemon juga dapat menyingkirkan plak, memutihkan dan menguatkan enamel gigi. Ia juga mengubati jangkitan tekak dan bagus untuk rawatan diphtheria.

12. Kebiasaannya, pati jus lemon digunakan untuk memerap makanan laut atau daging untuk membunuh bakteria dan organisma yang terdapat di dalamnya.
 
Sumber: Majalah NONA

11 Tip Menjaga dan Percepatkan Sembuh Luka Pembedahan

Assalamualaikum

Sekiranya anda menjalani pembedahan Ceasarean, penjagaannya agak berbeza kerana luka anda adalah pada perut dan bukannya pada vagina. Luka akibat pembedahan memerlukan lebih penjagaan dan perhatian rapi kerana jahitannya lebih besar serta dalam berbanding luka episiotomi.


11 Tip Menjaga dan Percepatkan Sembuh Luka Pembedahan

1. Bergerak lebih awal
Menurut kajian, sebarang pergerakan yang dilakukan selepas menjalani pembedahan besar boleh membantu percepatkan penyembuhan luka dan mengurangkan risiko darah beku.  Anda tidak seharusnya berfikir bahawa benang jahitan akan terbuka sekiranya anda bergerak kerana ia sangat jarang berlaku. Pastikan anda mendapatkan bantuan ahli keluarga atau jururawat ketika anda ingin melakukan sebarang pergerakan yang besar terutama pada beberapa hari awal selepas pembedahan.

2. Makan makanan berzat dan seimbang
Anda kehilangan bendalir tubuh, mineral dan protin dengan banyak selepas bersalin dan anda perlu menggantikannya dengan kadar segera sekiranya anda ingin cepat pulih. Makan makanan yang mengandungi banyak protin seperti daging, ayam, ikan dan buah- buahan kerana ia kaya dengan mineral. Manakala sayur- sayuran pula kaya dengan vitamin. Jangan terpedaya dengan cakap orang tentang makanan sejuk dan panas, kerana ia tidak ada dalam istilah sains. Sebagai contoh, bayam dan lobak merah mengandungi antioxidant berupaya membuang toksin dalam tubuh. Brokoli dan kangkung mengandungi zat besi yang berupaya meningkatkan tahap hemoglobin anda.

3. Minum air secukupnya
Air adalah agen pembuang toksin dalam badan dan jangan percaya kepada mitos yang mengatakan minum terlebih air boleh menyebabkan faraj berair dan rahim kembang. Kekurangan air boleh menyebabkan sembelit dan menyukarkan proses kumuhan. Ini memberikan tekanan pada perut dan tempat luka serta menyebabkan anda menjadi sakit. Minum sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

4. Elak daripada mengambil ubat tradisional
Tidak semua ubat tradisional selamat dan ada yang boleh memberikan kesan sampingan seperti mengurangkan kecutan rahim dan menyebabkan pendarahan faraj yang banyak. Ada pula yang mengandungi bahan kimia yang boleh memberikan tekanan kepada buah pinggang anda.
Pastikan anda mendapatkan nasihat doktor dahulu sekiranya ingin mengambil sebarang ubat tradisional yang disarankan oleh kawan atau keluarga anda.

5. Mengambil suplemen zat besi dan multivitamin
Semasa pembedahan, anda kehilangan darah yang banyak iaitu 2-3 kali lebih tinggi daripada bersalin normal. Kehilangan darah menyebabkan perjalanan oksigen ke sel tubuh menjadi kurang dan ini menyebabkan luka lambat sembuh. Amalan memakan suplemen zat besi dan multivitamin dapat meninggikan tahap hemoglobin dengan lebih cepat seterusnya mempercepatkan tempuh pemulihan anda.

6. Makan pil penahan sakit
Sakit keterlaluan menyebabkan anda tidak selesa dan mengurangkan keinginan untuk menyusukan bayi dan bergerak. Dapatkan ubat penahan sakit yang secukupnya untuk memastikan anda berasa selesa dan lebih senang untuk bergerak.
  
7. Menyusu badan secara eksklusif
Menyusu badan sudah terbukti dapat menyembuhkan luka dengan cepat. Setiap kali menyusu, badan akan mengeluarkan hormon oxytocin yang menolong mengecutkan rahim dan mengurangkan risiko tumpah darah. Terdapat teknik-teknik menyusu yang sesuai yang boleh anda pelajari dari jururawat dan bidan hospital. Anda juga boleh mendapatkan tip menyusu dari kawan yang pernah melahirkan secara pembedahan.

8. Pastikan luka kering dan bersih
Biarkan luka terdedah kepada udara atau gunakan alat pengering rambut sekiranya perlu. Jangan menggaru pada luka atau menyapu sebarang ubat tanpa saranan doktor. Ini kerana ia boleh meninggikan risiko  jangkitan kuman.

9. Pakai bengkung
Anda boleh menggunakan ‘binder’ atau bengkung sekiranya mahu. Ia selamat dan digalakkan untuk mengurangkan sakit terutamanya semasa batuk dan bersin. Perut anda juga mudah kempis kerana ia bertindak mengurangkan angin di dalam usus. Ia juga menolong mengurangkan sakit belakang dengan memberikan sokongan pada tulang belakang anda. Pakai bengkung yang lembut dan berasaskan dari kain. Elok dipakai satu minggu selepas pembedahan.

10. Elak aktiviti yang boleh mendatangkan kesakitan
Aktiviti seperti menaiki tangga atau membongkok boleh membuatkan anda berasa lebih sakit. Oleh itu, elakkan daripada melakukan aktiviti tersebut sekurang-kurangnya satu minggu selepas pembedahan.

11. Dapatkan bantuan ahli keluarga
Sokongan daripada suami dan ahli keluarga lain sangat penting semasa anda menjalani tempoh berpantang. Mintalah bantuan daripada mereka sama ada dari segi fizikal dan emosi sekiranya perlu kerana anda baru sahaja menjalani pembedahan yang besar. Anda tidak boleh melakukannya sendirian.

Tanda-tanda amaran atau serius selepas ceasarean;
1. Demam berterusan.
2. Sakit pada tempat luka
3. Pendarahan yang banyak, berterusan dan berketul dari faraj
4. Keluar nanah dari tempat luka
5. Tanda kemerahan pada sekitar luka
6. Keluar air jernih dari tempat luka
7. Tempat luka nampak berlubang atau bengkak
8. Benang jahitan keluar dari luka atau terbuka

Sekiranya anda mengalami tanda-tanda sebegini, eloklah berjumpa doktor dengan segera.

Credit to AlamHamil.com