Memaparkan catatan dengan label Breakfast. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Breakfast. Papar semua catatan

Isnin, 30 Disember 2013

Pengambilan Sarapan Berkhasiat Menjadikan Badan Sihat

Teringat pesanan orang tua-tua, untuk kekal sihat dan langsing, jangan abaikan sarapan. Walaupun ia ha­nya sekadar petua, penulis akui sejak zaman persekolahan sarapan wajib diambil sebelum ke sekolah kerana khasiatnya bukan saja untuk fizikal tetapi mental.
Malah pakar pemakanan turut mempunyai pendapat yang sama mengenai kebaikan mengambil sarapan. Malangnya, ramai meninggalkan hidangan pagi ini dengan alasan tidak berselera, tidak sempat makan kerana bangun lambat dan ingin berdiet. 
Kajian terkini menunjukkan, orang yang bersarapan secara tetap menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing dan memiliki daya tumpuan lebih baik. 
Menurut pakar pemakanan, Madhavi Rai, sarapan sumber pertama memulakan hari dan konsepnya sama seperti berbuka puasa. Ini kerana apabila tidur, badan bukan saja berehat tetapi juga berpuasa iaitu membabitkan tempoh tenaga digunakan tetapi tiada yang diganti semula.
Apabila bangun, sarapan bertindak memberitahu badan inilah masa mengelak daripada rasa lapar melampau.
Walaupun hanya me­ngambil snek ringkas, ia sudah cukup untuk membantu mengurangkan berat badan, merendahkan tahap kolesterol, tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung. 
Pemilihan sarapan yang baik seharusnya membekalkan tenaga, mampu menahan rasa lapar dan mengawal keinginan untuk makan di antara waktu sarapan dan makan tengah hari. 
Sebaik-baiknya, individu perlu mengambil 300 hingga 500 kalori ketika bersarapan dan ini bergantung kepada aktiviti seseorang. Sarapan yang baik bukan saja menge­nyangkan tetapi mengandungi sumber protein dan karbohidrat kompleks yang memberikan sumber tenaga perlahan untuk kekal cergas sepanjang hari. 
Walaupun jumlah kalori makanan penting, nilai pemakanan harus diambil kira. Bersarapan dengan hidangan kurang berkhasiat boleh menyebabkan pertambahan berat badan terutama bagi mereka yang tidak bersenam atau mempunyai gaya hidup kurang aktif. 
“Jenis sarapan yang patut dielakkan ialah semua hidangan bergoreng seperti ayam dan kentang goreng, makanan mengandungi gula tinggi seperti kek, biskut, wafel dan roti bakar serta makanan berkarbohidrat ringkas seperti roti putih, roti canai dan nasi lemak. 
Jenis sarapan untuk serat tinggi atau karbohidrat kompleks yang patut diambil termasuk gandum, dadih dan bijirin manakala sumber protein terbaik seperti putih telur, ayam, tuna, susu rendah lemak, buah-buahan dan sayur-sayuran,” katanya. 
Walaupun sarapan ring­kas sudah mencukupi, tidak semua memberikan nilai kalori mencukupi. Misalnya secawan minuman coklat dan sekeping biskut hanya memberikan tenaga 150kcal. Sudah tentu ia tidak mencukupi dengan pecahan nutrisi diperlukan tubuh seperti gula, karbohidrat, protein, serat, vitamin dan mineral 
Selain itu, kadar pe­ngambilan sarapan juga bergantung kepada aktiviti fizikal seseorang. Individu yang melakukan kerja fizikal pada siang hari perlu mengambil makanan yang akan memberikan tenaga mencukupi. 
Mereka yang sentiasa aktif bergerak dan tidak mempunyai masa bersarapan boleh mempertimbang­kan membungkus sarapan yang dilakukan pada malam hari. Mereka juga boleh mengambil pengganti hidangan seperti minuman buah-buahan berkhasiat dengan susu dan dadih. Ini akan membendung rasa lapar tiba-tiba pada siang hari berbanding mengambil makanan berat. 
Fakta penting yang harus difahami, mengapa kita makan? Jelas Madhavi, makan untuk menambah dan menyimpan tenaga dalam badan. Malangnya apabila seseorang itu mengambil lebih daripada nilai kalori diperlukan, sebahagian makanan yang dimakan bertukar menjadi lemak. 
Menjadi kebiasaan rakyat Malaysia bersarapan dengan menu berlauk seperti nasi dagang, nasi kerabu dan nasi lemak yang bukan hanya menggunakan beras putih semata-mata tetapi dimasak dengan santan yang menjadikan hidangan terlalu berat. 
“Walaupun ia dianggap biasa untuk orang Asia makan nasi sehingga tiga dan empat kali sehari, saya mencadangkan individu membuat pilihan lebih sihat iaitu mengurangkan pengambilan nasi atau mengelak mengambilnya ketika makan tengah hari dan malam. Sebagai alternatif, mereka boleh me­ngambil menu berkarbohidrat kompleks seperti roti mil penuh dan bijirin manakala penggemar jus buah-buahan atau smoothie boleh mengambilnya setiap pagi,” katanya. 
Untuk itu, pengambilan sarapan berasaskan makanan mengandu­ngi protein tinggi harus diperba­nyakkan bagi membolehkan tenaga dikeluarkan dari semasa ke semasa, sekali gus membendung rasa lapar sebelum makan tengah hari. 
Kanak-kanak yang cenderung menggunakan lebih banyak tenaga daripada orang dewasa harus mengambil makanan mengandungi protein mudah hadam seperti telur separuh masak, susu dan keju, makanan berasaskan karbohidrat seperti roti bakar dan bijirin serta buah-buahan atau madu. 
Ibu bapa harus bijak menyediakan hidangan pelbagai warna dan rasa bagi menarik perhatian terutama kanak-kanak yang sering menghadapi masalah bersarapan. 
“Lobak merah, strawberi, epal dan oren antara hidangan yang mampu menambah selera kanak-kanak. Selain itu, ibu perlu kreatif dari segi pembungkusan makanan menggunakan bekas berwarna-warni. Anak-anak juga boleh terbabit dalam penyediaan makanan supaya mereka lebih berminat pada makanan sihat,” katanya. 
Pilih makanan sesuai 
Jika ada mengatakan sarapan menyebabkan rasa mengantuk serta hilang tumpuan, Madhavi menolak pandangan ini dan menjelaskan individu yang kurang bertenaga dan mengantuk selepas bersarapan disebabkan pengambilan makanan tinggi gula dan karbohidrat, sekali gus menyebab­kan peningkatan tahap gula dalam darah. 
Bagaimanapun, kandungan gula ini akan turun secara mendadak menyebabkan badan kurang bertenaga, lemah, mengantuk serta berkeinginan untuk makan makanan mengandungi tinggi gula dengan banyak. 
“Jadi, amat penting individu memilih jenis makanan sesuai bagi memastikan badan berada dalam keadaan baik. Contohnya, pisang sumber kalium dan mineral terbaik untuk jantung dan menstabilkan tekanan darah. Ia juga terkenal sebagai makanan pelindung ulser perut dan gastrik. Campuran susu rendah lemak, pisang dan buah beri mengandungi vitamin C dan antioksidan yang hebat serta mampu menjadi sarapan berkhasiat terutama untuk mereka yang jarang bersarapan,” jelasnya. 
Walaupun kedengaran agak mustahil, apabila sarapan mampu menurunkan berat badan, itulah hakikatnya. Mereka yang sedang berdiet perlu menjadikan sarapan sebagai pembuka hidangan utama. Ini boleh dilakukan dengan me­ngambil tiga hidangan utama dan dua snek kecil di antara waktu makan untuk mengelak badan daripada memberikan isyarat lapar serta makan dengan lebih kerap. 
“Apabila badan berada dalam keadaan lapar, mereka akan makan apa saja, sekali gus menyebabkan pengumpulan lemak degil dalam badan dari semasa ke semasa,” jelasnya yang mengakui tiada waktu terbaik mengambil sarapan. 
Namun sebaiknya selepas bangun tidur, minum segelas air dan tunggu sehingga 30 hingga 45 minit sebelum makan. Segelas air membantu memberikan rasa selesa, sekali gus menghalang daripada terus mengambil sarapan dengan banyak.
Untuk anda semua boleh juga mengambil supplement tambahan seperti vitamin Shaklee untuk kesihatan diri secara menyeluruh.Ingin dapatkan Vitamin Shaklee boleh hubungi saya..boleh juga klik untuk info vitamin ya..

Jom Like Page  Mummy Iera Vitta Shoppe / 941273 / 013-3240344
Facebook Zahirah Dzahir

Selasa, 15 Oktober 2013

Ada Sebabnya Kenapa Ia Dipanggil Breakfast (Sarapan)

Assalamualaikum
Mungkin ramai diantara kita yang dengan sengaja meninggalkan breakfast atau breakfast sekali dengan makan tengahari (brunch). Tahukah korang yang breakfast adalah waktu makan yang paling penting untuk diri kita.Saya curious jugak nak tahu kepentingan dia dan hasil Google terjumpalah dengan artikel dari website Nestle.
Jom baca untuk pengetahuan dan amalan untuk kesihatan jangka panjang.
Sarapan atau dalam Bahasa Inggeris – “Breakfast” merupakan perkataan yang cukup jelas mengenai makna disebaliknya. “Break” daripada “fast”, atau penterjemahan mudahnya – hidangan yang diambil untuk buka daripada puasa (setelah tidur semalaman!) Malangnya ramai di antara kita mengabaikan kepentingan bersarapan untuk memulakan hari.
Sarapan atau dalam Bahasa Inggeris – “Breakfast” merupakan perkataan yang cukup jelas mengenai makna disebaliknya. “Break” daripada “fast”, atau penterjemahan mudahnya – hidangan yang diambil untuk buka daripada puasa (setelah tidur semalaman!) Malangnya ramai di antara kita mengabaikan kepentingan bersarapan untuk memulakan hari.
Kebanyakan daripada kita makan malam pada pukul lapan, mungkin satu atau dua jam lebih awal atau lambat dan selepas itu melalui tempoh 12 jam tanpa sebarang hidangan. Jika diikutkan ia samalah dengan separuh hari tanpa makanan! Ada pula yang menghalang makanan daripada masuk ke dalam tubuh dengan tidak bersarapan!
Tidak bersarapan dilihat sebagai sesuatu yang trendy masa kini – terutamanya di kalangan mereka yang muda dan urban yang tidak langsung bertimbang untuk memilih sama ada sandwic strawberi dan secawan kopi panas ataupun kesesakan lalu lintas untuk ke tempat kerja. Ditambah lagi dengan masa yang diperlukan untuk bersolek serta bersiap untuk ke tempat kerja, nampaknya sarapan sudah tentu tidak lagi menjadi keutamaan.
Satu lagi sebab popular untuk tidak mengambil sarapan adalah pengurusan berat badan. Kita semua mahu menghilangkan setengah kilogram yang cukup menjengkelkan itu. Kita mungkin tidak suka mendengarnya tetapi tahukah anda yang tidak mengambil sarapan boleh memberikan kesan sebaliknya dan menyebabkan berat badan kita naik! Whoaaa. Ini kerana kita pasti kelaparan bila tibanya waktu makan tengahari jadi kita akan makan lebih banyak berbanding biasa. Dan jika selalunya anda cuma memakan kuay teow sup ketika tengahari, anda mungkin memilih untuk sesuatu yang lebih berlemak seperti kari laksa atau kuay teow goreng.
Sarapan yang sihat seharusnya terdiri daripada pelbagai kumpulan makanan seperti karbohidrat kompleks (seperti bijian penuh, bijirin sarapan atau roti gandum penuh), protein, sayur-sayuran dan buah-buahan. Anda boleh mendapatkan protein daripada telur, tuna, kekacang, keju atau susu. Bijian penuh juga boleh memberikan anda rasa kenyang untuk satu jangka masa yang lama kerana kandungan seratnya tinggi. Ia juga membekalkan vitamin dan mineral penting untuk tubuh. Secara asasnya, anda akan selamat sekiranya anda mematuhi Piramid Makanan yang cukup popular itu.
Sarapan juga akan menetapkan corak untuk sepanjang hari dan pastinya anda akan lebih positif kerananya. Ingat – minda, tubuh dan rohani anda memerlukan tenaga untuk berfungsi pada tahap optimum. Antara manfaatnya termasuklah tahap tenaga lebih tinggi, daya tumpuan lebih tinggi dan perasaan sihat sepenuhnya. Berehat sebentar pada waktu pagi juga mampu memberi sedikit masa untuk kita bertenang dan merancang jadual sepanjang hari.
Kereta pun tidak boleh dipandu tanpa minyak, inikan pula tubuh kita, kan? Sekiranya jadual pagi anda begitu padat dan tidak mengizinkan anda untuk menikmati sarapan sewajarnya, tukarkan saja “breakfast” kepada “fast break” – makanlah sesuatu yang mudah dan pantas!
Tip Mudah: Sebagai alternatif, anda boleh mula menyediakan sarapan pada malam sebelumnya. Sediakan susu, muesli bar, yoghurt atau minuman yoghurt yang mudah dihidangkan. Fikirlah, tiada alasan kenapa anda mesti mengabaikan hidangan yang paling penting dalam sehari.
Sumber