Apakah Jenis Dengkuran Yang Berbahaya?

By Zahirah Dzahir - 8/30/2016 10:34:00 PG

Assalamualaikum.


Berdengkur sewaktu tidur adalah perkara biasa. Selain daripada menyebabkan gangguan tidur teman sebilik anda ianya tidaklah berbahaya

1.Jadi, apakah jenis dengkuran yang berbahaya?

Dengkuran yang berbahaya ialah jenis kuat (kadangkala boleh didengari daripada luar bilik) disertai pernafasan yang terhenti selama beberapa saat menyebabkan paras oksigen dalam darah menurun.


Dengkuran seperti ini menyebabkan tidur yang tak puas dan menganggu prestasi belajar/ kerja pada siang harinya. Pesakit boleh tertidur sewaktu bercakap di telefon, sedang menghadap komputer dan lebih teruk; tertidur sewaktu sedang memandu kenderaan atau sedang mengendalikan mesin berat.

Ini adalah masalah yang disebut sebagai OSA (Obstructive Sleep Apnoea) iaitu pesakit berhenti bernafas sewaktu tidur akibat laluan pernafasan yang tersekat.

Jika kanak-kanak yang mengalami masalah ini, tanda-tandanya ialah(1):
  • Tidur yang berdengkur kuat dan pernafasan tersekat-sekat sewaktu tidur.
  • Tidur yang terganggu atau gelisah sewaktu tidur.
  • Kencing malam (jika dulu tak pernah terjadi)
  • Sering sakit kepala, lesu dan tertidur pada siang hari walau dapat tempoh tidur yang mencukupi.
  • Prestasi pelajaran yang merosot
2. Apakah risiko untuk mendapat penyakit ini?
 

Seseorang berisiko untuk mendapat OSA jika(2):
 - Ada sejarah ahli keluarga menghidapi OSA
 - 
Obesity (BMI >30 ke atas)
 - 
Ukur lilit leher yang tebal
 - 
Mempunyai lidah tebal dan salur pernafasan yang sempit (semulajadi atau disebabkan penyakit)
Merokok
Menghidapi darah tinggi atau kencing manis

3. Apakah ujian yang dilakukan untuk mengesahkan anda ada OSA?  


Pesakit yang disyaki mempunyai OSA akan dirujuk untuk Ujian Polysomnogram (Sleep Study) dimana pesakit perlu tidur didalam makmal tidur khas dan disambungkan kepada monitor untuk dipantau:

🔸Pergerakan mata
🔸Denyutan jantung
🔸Pola pernafasan
🔸Gelombang otak
🔸Bilangan pernafasan yang terhenti
🔸Paras oksigen darah
🔸Pola dan cara tidur

4. Apa yang perlu dilakukan jika saya disahkan ada OSA?



Anda akan dirujuk kepada pakar ENT (telinga, hidung, tekak) untuk pemeriksaan tonsil dan tisu salur pernafasan. Jika tonsil anda bengkak ianya perlu dibuang, tisu pernafasan yang tebal dan longgar perlulah dinipiskan dan diketatkan.

Jika OSA anda teruk atau masih mempunyai OSA walaupun setelah dibuang tonsil, doktor akan menyarankan anda menggunakan mesin bantuan pernafasan (CPAP: Continuous Positive Airway Pressure). Mesin ini perlu digunakan pada waktu malam bagi memastikan salur pernafasan tidak terhalang sewaktu tidur.

Jika OSA anda disebabkan obesiti, anda disarankan untuk menurunkan berat badan dan dirujuk kepada pakar pemakanan. Untuk kes teruk, pembedahan bariatrik boleh membantu supaya isipadu perut dapat dikecilkan.

5. Apakah yang akan terjadi jika saya biarkan saja masalah OSA atau tak mahu menggunakan mesin CPAP?



Keadaan kekurangan oksigen yang kronik bukan saja menyebabkan prestasi belajar dan kerja bertambah teruk malah ia membebankan fungsi paru-paru (3)  seterusnya akan menyebabkan kegagalan jantung (4).

Kesimpulannya; 



Bukan semua dengkuran itu berbahaya. Namun jika dengkuran itu kategori OSA ianya perlu diatasi secepat mungkin supaya fungsi tubuh boleh diperbaiki. OSA jika dibiarkan berpanjangan tanpa rawatan boleh menyebabkan paru-paru dan jantung rosak seterusnya membawa kepada kematian.

Oleh: Dr Hana Hadzrami
Pakar Anestesiologi & Rawatan Rapi


kredit  Dr Afiq Rahim / DAR

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!