KENAPA CERITA PASAL ANAK-ANAK AUTISM - AisyahRozalli

By Zahirah Dzahir - 4/22/2016 09:04:00 PTG

Assalamualaikum..



KENAPA CERITA PASAL ANAK-ANAK AUTISM?

Kenapa ramai yang sangat sibuk menceritakan tentang autism? Kenapa hingga perlu ada bulan dedicated untuk kesedaran autism?

Dalam circle of friends saya di facebook, ramai yang terdiri dari terapis, guru-guru dan ibu bapa yang melibatkan diri dan mempunyai anak-anak istimewa. Anak-anak istimewa itu pula, bukan hanya autism. Ada ibu bapa yang punya anak-anak dengan Global Developmental Delay, Intellectual Disability, Down's Syndrome, Cerebral Palsy, Fragile X Syndrome dan banyak lagi kondisi yang berbeza.

Namun, kenapa autism yang sering ditekankan? Saya ada terbaca posting seorang ibu yang juga punya anak istimewa mempersoalkan: Apakah anaknya tidak seistimewa anak-anak autism?

Saya punya adik yang menghidapi cerebral palsy. Tahun ini, kakngah usianya 28 tahun. Ke mana sahaja kami pergi, keluarga kami tidak akan pernah dibiarkan sahaja. Sentiasa akan ada mata memandang kami. Dan sehingga usia kakngah 28 tahun ini pun, orang masih memandang setiap kali kami keluar bersama-sama. Tapi, pandangan orang ramai itu seringnya adalah pandangan simpati. Bisik-bisik yang kami dengar ialah "kasihan dia". Anak-anak kecil yang menghampiri kakngah atau yang bertanya pada ibu bapa mereka, "kenapa orang tu tak boleh jalan?" akan dijawab oleh ibu bapanya dengan, "dia sakit. tak boleh jalan." Jawapan kepada persoalan keberadaan individu seperti kakngah di dalam komuniti amat mudah. "dia sakit" "dia OKU" "dia tak boleh jalan" "kasihan dia" "sabarnya ibu bapa dia" "untungnya ada anak syurga".

Namun.....

Situasinya amat berbeza dengan anak-anak autism. Ramai ibu bapa yang mengadu pada kami di Annahlu.

Bila anak autism mereka di bawa keluar, masuk ke dalam komuniti di pusat-pusat beli belah, berjalan-jalan bersama keluarga, pandangan yang dilemparkan kepada keluarga mereka tidak sama dengan pandangan yang diberikan oleh masyarakat kepada keluarga kami yang menyorong anak OKU di atas kerusi roda.

Saya seorang terapis. dan antara aktiviti terapeutik di Annahlu Therakids, Melaka ialah membawa anak-anak berjalan keluar sebagai aktiviti kefungsian dalam komuniti. Dan kami sentiasa diberikan pandangan-pandangan aneh apabila membawa anak-anak ini keluar, terutamanya anak-anak autism kami.

Bunyi-bunyi berulang yang dikeluarkan oleh anak-anak ini, "babibabibabibabibabi" "rarorarorarorarora" "aaa.aa.aa.aa..aaa". Perilaku-perilaku sensorial seperti menggoyang-goyang badan ke depan dan belakang sambil berjalan, ketawa secara tiba-tiba, berlari ke sana-sini sambil melompat-lompat, tangan mereka yang perlu dipegang erat sambil mereka membuat pelbagai aksi cuba melepaskan diri memang sentiasa akan mendapat pandangan aneh dari orang sekeliling. Itu saya belum cerita tentang tangisan, jeritan tantrum, berguling, berbaring di atas lantai shopping complex.

Bila di tanya oleh anak-anak yang melihat, "kenapa budak tu jerit-jerit?" "kenapa dia lompat-lompat?" "kenapa dia main air liur?"
ramai ibu bapa yang bisik-bisik "jangan tengok", "adik jangan buat macam tu", "tak elok kan jerit-jerit". Masyarakat sekitar yang melihat ada yang kerut-kerut kening. Ada yang menawarkan nasihat keibu bapaan bila terlihat anak autism yang terbaring tantrum di tengah jalan. Ada yang kata, "kenapa buat anak macam tu?". Tuduhan.... tidak pandai jaga anak, salah asuhan, anak nakal yang sering dilemparkan pada ibu bapa anak autism.


Pernah saya ditanya oleh seorang kakak. "Kenapa budak tu lasak sangat tu? Ajar la dia duduk diam elok-elok". Saya jawab, "dia autism, kak. Memang lasak sikit", sambil saya membetulkan duduk menghadap kakak tersebut untuk bercerita lebih lanjut tentang autism. "Alasan... nampak biasa je.. dah la kang dia langgar-langgar anak akak". Dan kakak itu terus bangun meninggalkan saya yang terkebil-kebil terkejut dengan balasannya.

Sekarang anda nampak?

Kenapa pentingnya masyarakat untuk sedar akan kewujudan autism?

Sekarang anda nampak?

Kenapa pentingnya kita membantu sebarkan kesedaran bahawa anak-anak autism itu wujud?
Apa yang keluarga mereka perlukan bukan pandangan sinis anda, bukan kata-kata "double meaning" anda, bukan bantuan anda mencari punca anaknya autism dari keluarga sebelah ayah atau sebelah mak, bukan tuduhan anda bahawa anak autism nya adalah kifarah dosanya.

Mereka hanya perlu anda faham. Dan berhenti menjadi sinis.

Mereka mahu komuniti menerima wujudnya anak mereka yang sangat 'awkward' bila berada dalam komuniti sosial.

Anda tidak tahu. betapa ibu bapa yang punya anak berlari ke sana sini ini, dalam hampir setiap sujud mereka menitiskan air mata mengenangkan masa hadapan anak autism mereka.

Mungkin dengan penerimaan masyarakat yang lebih terbuka dengan kepelbagaian individu autism, anda telah membantu meringankan sedikit bebanan di bahu mereka.

Mungkin bukan anak anda, mungkin bukan keluarga anda...

Tapi, mereka adalah individu dalam masyarakat anda.


>AisyahRozalli<
20April2016@Annahlu Therakids


kredit fb AisyahRozalli

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!