Elakkan Pilih Kasih Dari Dr Rajini Sarvananthan

By Zahirah Dzahir - 9/01/2015 11:14:00 PG

Assalamualaikum..

Elakkan Pilih Kasih
 


favouritism 

Amalan pilih kasih di kalangan ibu bapa ditakrifkan sebagai amalan memberi layanan dan keutamaan yang berat sebelah kepada seorang anak sambil membebani/ mengabaikan seorang anak yang lain. Dalam banyak situasi, walaupun setelah ibu bapa bertekad untuk memberi layanan yang sama rata, mereka mendapati ianya agak sukar untuk dilakukan. Di antara sebab-sebab berlaku pilih kasih adalah:
  • Salah seorang anak mempunyai lebih persamaan dengan seorang atau kedua-dua ibu bapa berbanding anak lain sama ada dari segi jantina, perwatakan atau tingkah laku.
  • Meluangkan lebih masa bersama salah seorang anak dan tidak cukup masa dengan anak yang lain.
  • Urutan kelahiran: ibu bapa lebih menyayangi anak sulung atau anak bongsu berbanding anak-anak pertengahan.
  • Ibu bapa lebih responsif terhadap anak yang mesra dan lebih penyayang.
  • Lebih menyayangi anak yang berpencapaian tinggi berbanding anak yang kurang pencapaian.
Amalan pilih kasih dilakukan (sama ada secara sedar atau tidak) oleh ramai ibu bapa. Namun, ia mula menjadi masalah apabila terdapat perbezaan layanan yang konsisten dan nyata di antara adik-beradik.

favouritism-2 

Ia Menjejaskan Semua Pihak

Anak-anak yang lebih disayangi akan membesar dengan perasaan harga diri yang tinggi (meskipun, adakalanya perasaan ini disalahtafsir). Mereka juga selalu beranggapan bahawa peraturan tidak terpakai terhadap mereka. Namun, mereka mungkin bergelut dengan kesukaran hubungan peribadi dan kemungkinan besar disisihkan serta tidak disenangi oleh adik-beradik yang lain.

Anak-anak yang kurang disayangi membesar dengan terbiasa dengan perasaan tewas, mereka mempercayai bahawa bekerja keras dan keazaman tidak akan memberi ganjaran seperti yang diidamkan. Mereka juga lebih berisiko mengidap masalah mental seperti bersifat agresif, masalah perhatian dan emosi (iaitu kemurungan dan/atau kebimbangan).

Ibu bapa berasa tidak senang apabila melihat pasangan mereka hanya tertumpu kepada satu orang anak dan mengabaikan yang lain. Kesihatan mental ibu bapa tersebut serta kemahiran pengasuhan mereka dalam risiko. Kemungkinan besar tingkah laku yang merosakkan ini akan diikuti dan di warisi oleh generasi seterusnya pula jika tidak ditangani.

Adil Bukannya Sama
  • Harapan atau jangkaan anda untuk anak anda haruslah disesuaikan dengan umur, lengkung pembelajaran, perwatakan anak anda dll.

  • Sebarang kerja-kerja rumah atau tanggungjawab lain (contohnya membuang sampah, mengelap lantai rumah, dan mengelap meja) harus diagihkan secara adil di antara adik-beradik walaupun yang paling kecil dalam kalangan mereka. Semua orang harus menyumbang, tetapi jangan lupa untuk memberi tugasan mengikut kesesuaian umur.

  • Luangkan sedikit masa berkualiti sekurang-kurangnya seminggu sekali dengan kesemua anak anda. Berinya perhatian, kata-kata yang menenangkan dan tunjukkan padanya bahawa anda mengambil berat dan amat sayangkannya. Beberapa minit sahaja pun sudah cukup memberi makna yang besar bagi anak anda.

  • Berikan setiap anak anda peluang yang sama untuk berjaya. Menguruskan sumber-sumber keibu bapaan anda (contohnya, kasih sayang, perhatian, kewangan, dll) untuk disesuaikan dengan keperluan setiap anak adalah agak sukar. Oleh itu, buat perancangan awal dan jangan malu untuk mendapatkan nasihat atau idea-idea daripada ibu bapa yang berpengalaman (iaitu ibu bapa anda sendiri atau rakan-rakan) ataupun kaunselor keluarga.

  • Pastikan sebarang ganjaran, hadiah atau hukuman yang diterima bersesuaian dengan umur anak. Sebagai contoh, anda tidak patut memberi reaksi/hukuman yang sama terhadap kesalahan seorang anak berusia 3 tahun dengan anak yang berumur 13 tahun atau membeli hadiah yang sama untuk anak anda yang berusia 17 tahun dengan anak yang berumur 12 tahun.

  • Berbincang dan sentiasa mendapatkan nasihat serta sokongan daripada pasangan anda. Adakalanya sesetengah kesilapan hanya ketara apabila tindakan-tindakan kita dipandang dari sudut yang berbeza.
Setiap anak adalah berbeza dan ibu bapa harus memberi respon kepada keunikan perwatakan dan keperluan mereka mengikut kesesuaian. Pada asasnya, kesemua anak anda, tidak kira berapa orang, adalah berbeza dan unik – hargai dan raikan hakikat tersebut. Cuba sedaya upaya anda untuk mengelakkan daripada memberi layanan yang berbeza dan cuba untuk berlaku seadilnya.

Sumber dari http://mypositiveparenting.org/

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!