SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN YANG KE 58

By Zahirah Dzahir - 8/31/2015 09:19:00 PG

Assalamualaikum..


Bismillahirrahmanirrahim


Salam Sejahtera
Salam 1 Malaysia
Salam Kedah Aman Makmur
Salam Kedah Serata-rata


1. Pada bulan Ogos 1982, Bapa Kemerdekaan, Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman telah berpesan kepada kita, anak watan Malaysia, bumi bertuah yang merdeka: " Saya berharap rakyat berbilang kaum dapat hidup dan berbaik-baik antara satu sama lain. Letakkan taat setia kita kepada negara. Baik buruk pun, Malaysia tetap negara kita. Tidak ada tempat lagi yang kita hendak pergi kerana ini sajalah tanah air kita. Jadi kita harus bersatu padu. Berdoalah kepada Allah S.W.T. supaya dilimpah kurnia-Nya harapan kita untuk hidup dan berada dalam keadaan selamat selama-lamanya."


2. Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi puji-pujian ke hadrat Allah S.W.T., malam ini kita berkumpul dalam suasana aman dan penuh muhibbah di Majlis Ambang Merdeka peringkat Negeri Kedah. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Berhormat Dato' Dr Ku Abdul Rahman bin Ku Ismail, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kecil Ambang Merdeka kerana berjaya menganjurkan majlis dengan begitu meriah dan telah membangkitkan semangat patriotik warga negara.

3. Begitulah juga kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri selaku urusetia dan Pegawai Daerah Yan selaku tuan rumah yang telah menjayakan majlis ini.
Warganegara Malaysia yang saya hormati sekalian,

4. Sesungguhnya, bersesuaian dengan situasi semasa, “Sehati Sejiwa” telah dipilih sebagai tema yang tepat Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2015 ini. Hakikatnya telah puluhan tahun rakyat Malaysia menempuh pelbagai perubahan dan transformasi bersama, baik dari sudut politik, ekonomi, mahupun sosial. Sepanjang tempoh itu juga, Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, bebas dari cengkaman serta belenggu penjajahan.

5. Kita sedar dunia kini terdedah dan berdepan dengan pelbagai cabaran dan pancaroba. Kita terdedah kepada pelbagai ancaman oleh dalang-dalang yang cuba mewujudkan sengketa dan permusuhan di serata dunia. Tidak kurang juga krisis dalaman yang akhirnya bertukar menjadi kecelaruan politik yang berpanjangan. Kesannya pertumbuhan ekonomi negara terjejas apabila tiadanya kestabilan dan perpaduan.

6. Pergolakan di luar negara, yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat yang tidak berdosa wajar menjadi iktibar kepada kita semua. Konflik negara luar yang sedang berlarutan seperti tiada penghujungnya wajar kita jadikan pengajaran.

7. Lantaran itu, kita tidak boleh kunjung jemu untuk menyemai benih-benih jatidiri dan pucuk-pucuk semangat cintakan negara didalam setiap jiwa kita, khususnya golongan muda yang merupakan generasi pewaris yang akan menerajui dan menyambung kemaslahatan negara kita Malaysia yang tercinta.

8. Dengan kata lain, sambutan kemerdekaan bukanlah sekadar laungan membangkitkan semangat, malah ia perlu disulami dengan penghayatan yang mendalam, yang berpaksikan kepada semangat cintakan Negara Malaysia.

9. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, jika kita imbas semula sejarah kemerdekaan Tanah Melayu, negara kita mungkin tidak boleh merdeka sekira rakyatnya sendiri tidak bersatu padu. Dasar pecah dan perintah oleh penjajah telah menyebabkan rakyat berpecah-belah.

10. Tapi atas dasar perjuangan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V. T. Sambanthan, kita semua disatukan. Maka wujudlah bangsa Malaysia yang ada pada hari ini. Justeru, bangsa Malaysia, terutamanya generasi muda inilah, yang mampu membentuk ke mana hala tuju Malaysia. Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu memainkan peranan penting untuk mempertahankan kemakmuran, keharmonian dan keamaan yang sedia ada sekarang.

11.Anak-anak muda sebagai bunga-bunga bangsa perlu terus dibimbing dan diasuh, dipersiapkan dengan jatidiri dan diperteguhkan semangat cintakan negara dalam jiwa mereka, barulah Malaysia dan rakyatnya akan kekal berdaulat lagi merdeka dalam erti kata yang sebenarnya.

12.Akhir kata, sebagai rakyat Malaysia amnya dan penduduk Negeri Kedah Darul Aman khususnya, saya ingin berpesan, hargailah keamanan, peliharalah keharmonian dan pupuklah perpaduan, bergandinglah bahu sehati sejiwa memartabatkan negara tercinta.

13.Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2015, MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

- YAB  Dato Seri Hj Mukhriz Tun Mahathir
kredit MMFC

31/8/2015
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN YANG KE 58
SEHATI SEJIWA 
 
MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA

- Mummy Ira -

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!