Adakah Papa Cemburu Dengan Mama?

By Zahirah Dzahir - 6/03/2015 07:39:00 PTG

Assalamualaikum..


Setelah bekerja seharian di pejabat tentu sahaja papa dan mama ingin segera pulang ke rumah mendakap anak kesayangan sambil bergurau senda dengannya. Terasa hilang segala kepenatan bekerja.

Namun kebiasaannya si kecil akan berlari mendapatkan mama berbanding papa. Agaknya apa perasaan sebagai papa apabila kepulangannya disambut dengan pelukan hangat daripada anak-anak? Tentu sahaja papa berasa cemburu kerana sambutan terhadap mama lebih meriah berbanding dirinya.

Mengikut kajian pakar psikologi anak, setiap anak mempunyai ibu bapa kegemarannya. Mungkin ada anak lebih rapat dengan mama atau ada juga yang lebih kepada papa. Paling malang apabila ada anak yang cenderung memilih pembantu rumah sebagai ‘orang kegemarannya’.

Ia bergantung kepada berapa banyak waktu yang si anak sering habiskan dengan orang tersebut. Apabila papa dan mama sibuk bekerja di pejabat, sudah tentu si kecil lebih banyak menghabiskan masa dengan orang yang menjaganya, maka secara automatik dia akan lebih rapat dan mesra dengan pengasuh berbanding orang tuanya.

Sementara itu, jika si ibu merupakan suri rumahtangga sepenuh masa, sudah pasti anak-anak akan lebih rapat dengan mama berbanding papa. Jadi, bagaimana papa dapat mencuri perhatian anak untuk rapat dengannya? Bagaimanapun jangan risau kerana bukan bermakna anak kecil tidak menyukai papa atau mengganggap papa adalah orang luar yang bukan digemari.

Biasanya semakin anak membesar, dia akan mengalami perubahan seiring dengan usianya. Si anak sudah semakin bijak membuat penilaian. Dengan sendirinya, pilihan mereka juga akan berubah. Jika dulu si anak lelaki tidak mahu berenggang langsung dengan mama tetapi apabila menginjak usia lima tahun, dia mungkin lebih suka berdamping dengan papa kerana mereka berkongsi kegemaran yang sama seperti bermain bola sepak atau permainan video.

Oleh itu selaku ketua keluarga, papa tidak seharusnya mencemburi isteri yang sering menjadi orang kegemaran anak-anak. Jangan sesekali mensasarkan kemarahan kepada si anak. Adalah lebih baik papa berfikiran positif dan cuba bersama menikmati masa bermain tersebut.

Cuba luangkan lebih banyak masa dengan anak kerana semakin kerap anda berinteraksi dan bermain dengan anak, semakin mudah memenangi hati anak. Ini kerana secara semula jadi anak-anak kecil sebenarnya lebih senang memilih orang yang dapat memahami keperluannya dan dapat meenangkannya dengan cepat ketia dia berasa tidak seleas.

Papa juga boleh bekerjasama dengan mama agar sesekali memberinya ruang masa bersendirian dengan si anak seperti bermain bersama atau menguruskan keperluan anak. Contohnya, ketika mama sibuk di dapur, biarkan papa yang menguruskan anak mandi, menukar lampin, bermain dan sebagainya. Bahkan sesekali tidak salah papa pula yang menidurkan anak agar si anak faham bahawa bukan hanya mama sahaja yang boleh menguruskannya, papa juga boleh!


sumber pa & ma

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!