Penjawat Awam Culas Kena Terjah

By Zahirah Dzahir - 2/16/2015 12:26:00 PG

Assalamualaikum..

Unit Integriti SUK bertindak tegas meminta penjawat awam yang keluar ketika waktu kerja menulis nama untuk dihantar kepada ketua jabatan masing-masing.

Penjawat Awam Culas Kena Terjah

KERAJAAN Selangor serius mengekang budaya culas penjawat awam yang sering melepak pada waktu kerja tanpa perasaan bersalah.

Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, budaya curi tulang di kalangan penjawat awam ini bukanlah fenomena baharu. Walaupun pelbagai teguran dan amaran dikeluarkan, namun ia masih tidak meninggalkan kesan.

“Kerajaan telah berikan waktu kerja anjal kepada mereka iaitu masa masuk, rehat, makan tengah hari namun penjawat masih keluar melepak di kafe dan berpelesiran di luar bangunan.
“Budaya negatif ini perlu diubah segera, sekiranya terus dibiarkan negeri dan negara berdepan pembaziran tenaga kerja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jumaat lalu, Mohammed Khusrin bertindak menjalankan lawatan mengejut (spot check) di Kafe Dewan Jubli Perak dan gerai-gerai kecil di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) dan mendapati masih ramai penjawat awam bersarapan dan membeli-belah pada waktu kerja.

“Peringkat awal kita keluarkan notis amaran, kali kedua hantar nama kepada ketua jabatan untuk tindakan lanjut.

“Unit Integriti SUK Selangor akan memantau aktiviti ini dari semasa ke semasa dan tindakan tatatertib akan diambil. Diharapkan semua penjawat awam dapat mengubah budaya ini demi nama baik perkhidmatan awam,” katanya.

Mohammed Khusrin menegaskan terjahan ini bukan hanya dijalankan di Bangunan SUK malah unit integriti ini juga bergerak ke daerah seluruh negeri.

“Terjahan mengekang budaya mengular di kalangan penjawat awam ini bukan main-main.

“Kerajaan negeri serius mengubah budaya kerja tidak sihat seumpama ini di Selangor,” katanya.

Tambah beliau, tindakannya memuat naik gambar lawatan mengejut berkenaan di laman sosial Facebook bukan bertujuan menjatuhkan maruah penjawat awam, sebaliknya sebagai kesedaran agar mereka tidak mengulangi perbuatan itu serta teladan untuk kakitangan lain.

Sampai bila nak curi tulang?

Gambar hiasan 

SIKAP segelintir kakitangan awam curi tulang waktu bekerja ibarat kudis lama yang masih tidak pulih dalam sektor perkhidmatan awam.

Melihat kelibat mereka menghisap rokok selepas sarapan, walaupun jam menunjukkan 10.30 pagi di gerai-gerai bukanlah perkara asing.

Malah ada yang sanggup ke luar kawasan, semata-mata mahu menikmati makanan kegemaran mereka tanpa menghiraukan waktu bekerja.

Ada juga yang mengambil kesempatan berniaga dalam pejabat, melakukan urusan peribadi, urusan ke bank, mengambil dan menghantar anak ke sekolah dan pelbagai lagi kegiatan yang sinonim dengan budaya kerja segelintir penjawat awam.

Ini belum dikira dengan kedatangan lewat tetapi menuntut kerja lebih masa apabila pulang lambat.

Baru-baru ini juga, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi turut menegur penjawat awam di Selangor yang culas dan gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Namun, kebanyakan mereka terus berasa selesa dengan pelbagai imbuhan tetapi mutu kerja yang diberi tidak setimpal.

Disebabkan segelintir perangai jelik penjawat awam ini, masyarakat terus memandang serong terhadap sektor awam walaupun yang melakukan perkara itu bukanlah semua.

----------------------------
- Mummy Ira -

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!