Punca dan Cara Elakkan Mengantuk Semasa Belajar

By Zahirah Dzahir - 9/13/2014 12:13:00 PTG




OTOT- OTOT mata menjadi letih kerana terlalu memberi tumpuan kepada huruf-huruf atau formula-formula fizik atau matematik yang bersaiz font 12 atau kurang.


Sebab itulah ramai pelajar yang apabila mahu belajar terasa mengantuk. Ada pula yang tak sampai 10 minit berada depan buku mata terasa berat.


Apabila mata terlalu mengantuk kita akan menjadi hilang tumpuan. Akibatnya, tumpuan kita tersasar dan ini cukup merugikan masa.
Kenapa mengantuk? Kenapa ketika bermain atau menonton televisyen mata kita tidak mengantuk?


1. Tidak cukup tidur.

Ini memanglah punca utama ramai pelajar mengantuk ketika guru mengajar di sekolah. Ada sesetengah pelajar yang tidur lewat malam sehingga pukul 1 pagi.


Sedangkan esok hari persekolahan dan terpaksa bangun awal.
Ada yang tidur lewat kerana menelaah pelajaran. Ada pula pelajar yang tidur lewat kerana membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti mendengar radio dan bersembang maya di Internet sehingga pagi.


Kalaulah ini masalah anda maka nyatalah yang anda belum menetapkan matlamat dalam hidup anda. Pelajar yang bermatlamat tidak buang masa dengan urusan yangsia-sia.
Kalau anda tidur lewat kerana mengulangkaji pelajaran maka anda juga perlu ubah tabiat buruk ini. Ingat pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang belajar pintar bukan semata-mata kuat belajar.
 

2. Tidur yang berlebih-lebihan.
Tidur yang terlalu lama dan kerap juga menjadikan anda mengantuk. Tidur yang mencukupi ialah sebanyak 6 8 jam sehari. Pastikan anda tidak tidur lebih dari tempoh waktu ini.


3. Makan terlalu banyak.
Ini juga merupakan satu tabiat buruk. Apabila anda kuat makan maka perut anda terpaksa bekerja kuat memproses makanan tersebut. Proses ini memerlukan banyak oksigen dan mengerah banyak tenaga. Ini membuatkan anda akan mudah mengantuk waktu dalam kelas dan ketika mengulangkaji.


4. Badan terlalu letih.

Ada ketikanya anda mengantuk disebabkan badan anda terlalu letih dengan aktiviti sepanjang hari. Kalau anda ada masalah mengantuk cuba senaraikan semua aktiviti luaranda.

Ada ketikanya anda bersukan atau beriadah secara keterlaluan.
Bermain bola pada waktu petang secara berlebih-lebihan. Berbasikal keliling kampung berjam-jam. Semua aktiviti ini memerah keringat dan membuatkan anda keletihan.
Beriadah dan senaman memang baik untuk kesihatan tetapi tujuannya kena betul.

Perbaiki matlamat anda beriadah. Anda beriadah untuk membolehkan anda segar pada waktu malamnya bagi menelaah pelajaran. 20 - 30 minit sehari adalah mencukupi.

Ada pula sesetengah pelajar keletihan disebabkan aktiviti ko-kurikulum yang berlebih-lebihan.Anda tidak perlu terlalu aktif dalam kegiatan ko-kurikulum hinggakan tiada masa untuk mengulangkaji dan sehingga memenatkan badan. Terlibat secara ala kadar.

Tidak ada gunanya kegiatan ko-kurikulum anda cemerlang sedangkan SPM anda kecundang.Tidak ada gunanya menjadi olahragawan/olahragawati sekolah tapi akhirnya bekerja hanya sebagai budak kilang.

Oleh itu pastikan kegiatan harian anda seimbang antara pencapaian akademik dan penglibatan ko-kurikulum. Pastikan anda tidak kesuntukan masa. Pastikan anda tetapsegar dan tidak mengantuk pada malamnya.

5. Tiada minat belajar.
Masalah ini sering dijadikan alasan oleh ramai pelajar. Sebelum kita pergi lebih jauh cuba fikirkan sejenak antara MINAT dengan BELAJAR manakah yang wujud terlebih dahulu?


Minat tidak tercetus dengan sendirinya dalam diri anda. Ia sesuatu yang wujud disebabkan pengaruh-pengaruh tertentu seperti guru yang baik, penguasaan pelajaran yang sempurna, markah yang tinggi dan sebagainya.


Pernahkah anda dengar adanya pelajar yang dapat markah 90% dalam sejarah berkata yang dia tak minat sejarah? Tentulah tidak.
Oleh itu minat timbulnya apabila anda lihat dalam diri anda ada potensi untuk pergi lebih jauh. Minat mula timbul apabila anda dapat rasakan yang anda mula menguasai sesuatu mata pelajaran.


Anda perlu mempunyai kemahiran belajar yang tinggiagar mudah menguasai setiap perkara baru yang dipelajari. Oleh itu yang perlu anda perbaiki ialah cara belajar anda dan kegigihan anda sendiri.


Elak mengantuk ketika belajar
 

BANYAK murid yang menghadapi masalah mengantuk ketika sedang mengulang kaji pelajaran. Ada juga yang cuba belajar tetapi terasa dirinya seperti sedang bermimpi. Malah keadaan menjadi bertambah buruk sehinggakan tertidur di atas meja dan apabila terbangun terasa sakit atau pening kepala. Keadaan ini boleh mewujudkan ketegangan pada diri kita dan mengganggu proses pembelajaran di rumah.

Berikut diberikan beberapa panduan yang perlu diamalkan bagi mengelak atau mengurangkan rasa mengantuk ketika belajar.


• Belajar waktu pagi

Suasana waktu pagi agak tenang dan diri kita juga berada dalam keadaan segar. Oleh itu bangun awal terutamanya pada masa cuti hujung minggu agar kita dapat belajar dengan tenang. Jika anda dapat tumpukan ke arah pembelajaran dalam jangka masa dua atau tiga jam sudah mencukupi untuk pagi tersebut.


• Belajar secara aktif
Belajar secara aktif memerlukan anda menggerakkan anggota badan terutama tangan, jari, mata dan muka. Hal ini bermakna anda perlu melibatkan aktiviti seperti menulis, melakar atau menggerakkan mulut untuk membaca sesuatu bahan maklumat.


• Lakukan senaman ringkas

Setelah belajar selama 30 minit hingga satu jam, lakukan sedikit senaman ringkas untuk pergerakan kaki, pergelangan tangan, senaman muka, pinggang dan sebagainya untuk pengaliran darah yang lancar.


• Elakkan menonton televisyen terlalu lama
Anda harus mengelak daripada menonton televisyen atau melayari Internet terlalul ama pada sebelah malam kerana itu boleh menjadikan anda tidak cukup tidur serta melemahkan anggota mata di waktu paginya.


• Makan makanan yang tidak terlalu berat
Ketika hendak belajar terutama pada waktu pagi atau ketika menghadapi peperiksaan, elakkan daripada makan makanan yang terlalu berat atau yang terlalu berminyak seperti nasi lemak, nasi dagang, pulut panggang dan sebagainya. Makanlah makanan seperti roti, bijirin serta yang seumpuma dengannya. Banyakkan makan buah-buahan segar dan minum air masak tetapi elakkan minuman yang berkabonat.


• Kedudukan badan yang betul di atas kerusi
Jika anda bersandar pastikan di belakang anda lurus dan tidak bengkok. Kedudukan badan yang salah menyebabkan badan menjadi letih dan cepat mengantuk.


• Segarkan diri
Basuh muka dan kenakan sedikit wangian di badan supaya anda rasa dan tidak mengantuk.
Amalkan tip ini dan anda akan berasa lebih segar serta bermotivasi untuk belajar.
-Utusan Malaysia Online-


  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!