Tekanan antara faktor utama yang menyebabkan masalah kesihatan,
terutama penyakit jantung koronari, dalam masyarakat zaman moden
sekarang. Ia boleh berpunca dari faktor luaran atau dalaman seseorang.
Tekanan boleh menjadi faktor positif yang mendorong seseorang untuk
lebih tekun berkerja, tetapi jika ia menjadi terlampau dan di luar
kawalan, ia menjadi unsur yang boleh merosakkan kesihatan seseorang.
Faktor luaran termasuk kerjaya, hubungan sesama manusia, rumah tangga
dan keluarga yang menyebabkan situasi yang mencabar, tekanan kerja,
jangkaan dan harapan kehidupan seharian.
Antara faktor dalaman pula ialah tindak balas dan keupayaan mengawal
tekanan dari faktor luaran tadi, termasuk status nutrisi, tahap
kesihatan fizikal dan kecergasan, kekuatan emosi dan tidur serta rehat
secukupnya bagi seseorang.
Mengharapkan sesuatu yang sempurna dan terlalu mengikut perancangan
kita adalah faktor dalaman yang boleh menyebabkan seseorang mengalami
tekanan yang tinggi.
Tekanan boleh menyebabkan penyakit jantung kerana berlaku perubahan
hormon iaitu hormon adrenalin dan kortisol. Ia juga boleh mempengaruhi
tingkah laku seseorang.
Seseorang yang mengalami tekanan biasanya mengambil tindakan boleh
memburukkan kesihatan seperti merokok, minum arak, makan berlebihan.
Kesan dari tabiat tidak sihat ini, kesihatan jantung seseorang akan terjejas dan boleh menyebabkan penyakit jantung kronik.
Kaitan tekanan dan kesannya kepada kesihatan dikaji oleh ahli sains,
Hans Selye, pada 1946. Beliau berpendapat tekanan punca pelbagai
masalah kesihatan dan penyakit.
Beliau membahagikan tekanan kepada tiga tahap iaitu Amaran (Alarm), Rintangan (Resistance) dan Keletihan (Exhaustion).
Kajian terbaru menunjukkan tekanan boleh menyebabkan penyakit
jantung. Namun, masih berlaku perdebatan bagaimanakah mekanisme sebenar
tekanan yang boleh mengganggu kesihatan jantung.
Manusia zaman moden tidak lagi me–ngalami tekanan sebagaimana
manusia yang hidup pada zaman purba yang mengalaminya apabila
terserempak dengan binatang buas.
Tekanan dialami ketika bertemu binatang buas akan menyebabkan tubuh
bersedia melawan atau lari (flight or fight) dan dalam keadaan ini
hormon adrenalin dan kortisol yang keluar akan membantu sese–orang
keluar dari masalah itu.
Dalam zaman moden, tekanan akibat kerjaya, keluarga, masyarakat dan
wang menyebabkan tubuh memberi tindak balas serupa iaitu menghasilkan
hormon ini secara berterusan dan dalam jumlah tinggi.
Apabila hormon ini terlalu tinggi dalam tubuh seseorang, ia mengganggu kesihatan jantung dan sistem pembuluh darah.
Menurut kajian diterbitkan dalam jurnal perubatan Circulation pada
2000 bertajuk Mental Stress Induces Transient Endothelial Dysfunction in
Human, setiap kali seseorang mengalami tekanan, akan berlaku kerosakan
dinding dalaman saluran darah (endothelial dysfunction) selama empat
jam.
Kerosakan ini akan menyebabkan saluran darah rosak dan kolesterol
lebih mudah mendap. Kesan jangkamasa panjang akan menyebabkan saluran
darah tersumbat dan akhirnya berlaku penyakit jantung, darah tinggi dan
strok.
Satu lagi kajian dilaporkan dalam Jurnal Perubatan British (BMJ)
pada 2006 bertajuk Chronic Stress At work and The Metabolic Syndrome:
Prospective Study membabitkan 10,308 lelaki dan wanita berkerjaya
berumur antara 35 hingga 55 tahun.
Kajian ini menunjukkan tekanan akibat pekerjaan menyumbang kepada
faktor risiko tinggi untuk penyakit jantung iaitu sindrom metabolik.
Seseorang yang mengalami tekanan ting–gi dan tidak terkawal akan
berisiko tinggi mendapat darah tinggi, kolesterol tinggi, perut buncit,
obesiti dan penyakit jantung.
Memilih cara tidak sihat untuk menurunkan tekanan seperti merokok,
minum kopi berlebihan, makan makanan atau minuman manis, minum arak,
mengambil dadah dan ubat penenang akan memburukkan kesihatan seseorang.
Oleh itu, mengawal tekanan dengan cara lebih sihat sangat penting untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.
Makan secara sihat dan bersenam dengan lebih kerap juga membantu
mengurangkan tekanan. Selain itu, bersukan seperti badminton, futsal dan
golf adalah kaedah baik untuk bersenam sambil mengurangkan tekanan.
Bersikap positif dan menghadapi cabaran hidup secara positif adalah
terapi tekanan yang sangat baik. Malah, kajian menunjukkan seseorang
yang bersikap positif mempunyai risiko penyakit jantung lebih rendah.
Sebagai seorang Islam, solat, berzikir dan membaca al-Quran adalah kaedah terbaik untuk menurunkan kadar tekanan sese–orang.
Bergaul dengan masyarakat termasuk berjemaah di masjid, membuat
kerja amal dengan membantu dan bersedekah kepada orang lebih susah dan
memerlukan akan membantu mengurangkan tekanan.
sumber
---------------------------------------------------------
0 orang berborak di sini!