Masalah Kurang Darah (Anemia)

By Zahirah Dzahir - 1/05/2014 11:17:00 PTG

Kurang darah ni, memang ramai orang nampak macam tak ada masalah, tapi sebenarnya, kurang darah ni banyak menjejaskan kualiti hidup kita. Saya sendiri pun menghadapi masalah ni. Waktu cuti musim panas yang lepas, doktor di Muar bagi saya ubat tambah darah (Ferum). Apa sebenarnya tanda tanda orang kurang darah ni?


Tangan kanan pembaca ialah penghidap anemia (cair warnanya)

Kurang darah dapat dikenalpasti apabila individu tersebut berasa mengantuk di pagi hari, dan waktu malam hari, tak dapat tidur pula..  Apabila kita kekurangan darah, otak mengenalpasti masalah kekurangan darah ini kemudian mengaktifkan Sistem Simpatetik (sistem cemas). Sistem simpatetik ini merupakan signal stress yang mengaktifkan Reticular Formation (Bahagian yang menjaga kesediaan diri dan mengelakkan daripada tidur) dan menyebabkan kita tidak dapat tidur pada waktu malam.

Kenapa ia berlaku pada waktu malam?
Pada waktu malam, tekanan darah dan degupan jantung adalah rendah dan menyebabkan orang yang kekurangan darah tidak dapat menyalurkan darah secukupnya kepada organ badan. Akibatnya, badan akan berasa stress dan signal stress ini mengaktifkan Reticular Formation yang menyebabkan individu tersebut tidak dapat tidur. 


Sewaktu pagi pula, tekanan jantung adalah normal akibat pelbagai faktor (rembesan hormon thyroid, dan cortisol yang banyak pada waktu pagi 6 - 8 am, kurang pada waktu tengah malam), menyebabkan Reticular formation kurang diaktifkan, dan ditambah pula dengan malam yang tidak cukup tidur, menyebabkan individu kurang darah akan tidur panjang pada waktu siang.

Oleh sebab inilah, masalah kekurangan darah dikatakan menjejaskan kualiti hidup seseorang. Individu yang menghadapinya kurang memberikan tumpuan dalam pekerjaan akibat berasa lemah badan dan mengantuk. Orang tua selalunya terlibat dengan masalah kurang darah ni. Sebab nya, mereka kurang mengeluarkan rembesan asid (HCl) di dalam perut. Sekiranya asid kurang dihasilkan di dalam perut maka penyerapan zat besi dari makanan adalah begitu sukar sekali. Zat besi adalah penting bagi menukarkan zat besi Fe3+ kepada Fe2+. Sekiranya asid yang dihasilkan oleh perut berkurangan, maka tidak dapat lagi menyerap zat besi dengan baik.

Zat besi sangat penting untuk membina hemoglobin (pengangkut oksigen) dalam sel darah. Sekiranya zat besi kurang dalam darah, sel darah menjadi kecil (mikrositosis). Biasanya isipadu darah normal ialah 90 phentoliter, tetapi pesakit anemia ini mempunyai kurang daripada 50 pentoleter darah. Kekurangan darah boleh menyebabkan penghidapnya mendapat bekalan darah yang tidak mencukupi ke seluruh badan termasuk perut, usus dan buah pinggang. Kesan nya ialah badan tidak dapat menyerap makanan dan masalah kekurangan darah berulang menjadi lebih teruk dari semasa ke semasa.

Buah pinggang juga banyak terjejas akibat kekurangan darah ini. Kekurangan darah menyebabkan darah menjadi berasid dan akibatnya menyebabkan edema (bengkak air) berlaku di banyak kawasan badan. Asid yang semakin bertambah ini memberi peluang protein keluar daripada buah pinggang dan dibuang melalui air kencing. Kehilangan protein menyebabkan darah baru tidak dapat dibina kerana protein merupakan elemen penting dalam membina darah. Selain itu, kehilangan protein juga menambah terukkan lagi edema (bengkak air) pada anggota badan dan menyumbang kepada kejutan peredaran darah (circulatory shock). 
Akibat kejutan ini ialah, salur darah pada buah pinggang akan mengecut dan menyebabkan kegagalan buah pinggang (multiple organ failure). Kegagalan buah pinggang seterusnya menyebabkan pembentukan darah lebih sukar (akibat kekurangan erythropoeitin dan uremia [air kencing berkumpul dalam darah] dan kehilangan protein) , dan buah pinggang menjadi lebih lagi gagal.

Masalah lain yang menyebabkan kekurangan darah ialah kerosakan pada sel darah. Kerosakan sel darah boleh berlaku akibat bentuk darah yang terlampau besar. spherocytosis. Sel darah besar ni tak mampu nak melalui salur darah kecil dengan baik, seterusnya menyebabkan kematian tisu. Sel darah yang besar atau berbentuk pelbagai ni, senang saja musnah, menyebabkan bilangan sel darah merah menjadi sedikit. Antara penyakit yang boleh menyebabkan perkara ni ialah Malaria (Plasmodium), sejenis penyakit bawaan nyamuk Anopheles.

Ah, lagi, kalau kita menghadapi penyakit buah pinggang, kita juga berkemungkinan menghadapi uremia (air kencing dalam darah). Air kencing dalam darah boleh memusnahkan sel darah kerana sel darah adalah sangat mudah retak. Racun juga boleh menyebabkan perkara yang sama. Kekurangan G-6-PD juga boleh menyumbang kepada pengurangan glutathion dalam darah yang berperanan mengelakkan pengoksidaan darah. Ingat tau, bila darah teroksida maka darah akan cepat musnah.

Bagaimana cara badan mengatasi masalah ini?
Badan kita mengatasi masalah kekurangan darah dengan cara membina lebih banyak sel darah merah di dalam sum sum tulang. Namun, kadang kala, mekanisma tindakbalas ini tidak menolong kepada penyembuhan individu tersebut malah, boleh menambah burukkan lagi keadaannnya. Perkara ini berlaku sekiranya individu tersebut mempunyai paras hemoglobin yang rendah tetapi kuantiti sel darah merah yang normal. Pertambahan sel darah merah hanya akan menambahkan kelikatan darah seterusnya meningkatkan tekanan darah.

Kesannya, sekiranya individu tersebut mempunyai masalah jantung, ia boleh membawa kepada kegagalan jantung. Masalah ini juga boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang, paru paru dan kelenjar pituitari di otak.

Cara terbaik untuk menyelesaikan masalah anemia yang berpunca daripada kekurangan hemoglobin dalam badan ialah dengan memastikan komponen asas yang membina hemoglobin adalah cukup. Zat besi (Ferum) perlu diambil bagi memastikan kuantiti hemoglobin dalam darah mencukupi. Paras normal hemoglobin dalam darah ialah 140g hemoglobin dalam satu liter darah. Pastikan anda mendapatkan vitamin B12 (cobalamin) dan B9 (folic acid) yang mencukupi. Vitamin B12 berfungsi untuk membina hemoglobin manakala asid folic digunakan untuk membina DNA dengan baik.

 Selain itu, pastikan individu tersebut makan dengan mencukupi, agar paras protein dalam badan normal, kerana protein digunakan untuk membina sel darah yang baru.

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!