Apa Itu Pentaksiran Berasakan Sekolah (PBS)

By Zahirah Dzahir - 1/15/2014 12:27:00 PTG

Assalamualaikum..

Apa itu PBS?

Jawapan :

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.

PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Komponen PBS terdiri daripada Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, dan Pentaksiran Psikometrik.

2. Adakah konsep PBS ini sesuatu yang baru?

Konsep PBS bukanlah sesuatu yang baru, kerana pentaksiran inilah yang selama ini dilaksanakan oleh guru di sekolah (kerja rumah, projek, kuiz, soal-jawab dan lain-lain). PBS yang dicadangkan ini merupakan penambahbaikan kepada PBS yang telah sedia dilaksana dengan memperkenalkan pentaksiran merujuk standard dan aplikasi Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) untuk membantu guru merekod pencapaian murid secara berterusan.

3. Kenapa PBS perlu dilaksana sekarang?

Pelaksanaan PBS adalah seiring dengan program transformasi negara untuk menghasilkan modal insan yang bertaraf dunia.

4. Bila PBS mula dilaksanakan?

PBS dilaksanakan mulai Tahun 1 pada 2011 dan penambahbaikan UPSR pada 2016, mulai Tingkatan 1 pada 2012 dan penambahbaikan PMR pada 2014.

5. Apakah perbezaan antara PBS dengan pentaksiran sedia ada?

• PBS adalah lebih holistik dan memberi penekanan kepada kesemua aspek JERI iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek berbanding kepada pentaksiran sedia ada yang lebih memberi penumpuan kepada pencapaian akademik melalui peperiksaan. PBS akan mentaksir proses dan produk secara formatif dan sumatif iaitu mengamalkan konsep assessment for learning dan assessment of learning manakala fokus utama pentaksiran sedia ada lebih kepada pencapaian akademik murid di akhir pembelajaran yang merupakan assessment of learning.

• Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan, iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Ia merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.


Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan (growth) murid dalam pembelajaran merujuk kepada pernyataan standard.

• PBS juga memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah. Ini akan dapat meningkatkan integriti dan kredibiliti profesion perguruan kerana guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka:

- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid
- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan murid
- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi.

6. Apakah standard prestasi?
Standard Prestasi merupakan satu pernyataan yang menerangkan tentang pencapaian atau penguasaan seseorang individu dalam sesuatu bidang yang telah dilalui dalam satu tempoh pembelajaran berdasarkan satu penanda aras (benchmark) yang telah dikenal pasti. Standard Prestasi memandu pentaksir bagaimana aktiviti pentaksiran boleh dan dapat dilaksanakan secara adil dan berfokus merujuk kepada standard yang ditetapkan.

7. Bagaimana penjaminan kualiti PBS dapat dilaksanakan?
Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS dapat dicapai melalui:
• Pementoran
• Penyelarasan
• Pemantauan
• Pengesanan

• Pementoran PBS adalah proses membantu, memudah cara dan membimbing guru untuk melaksanakan PBS mengikut prinsip dan prosedur pelaksanaan yang ditetapkan.

• Pemantauan ialah satu proses untuk mendapatkan maklumat dan memastikan pentaksiran dilaksanakan mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan agar mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan.

• Penyelarasan PBS adalah proses penyeragaman skor merujuk kepada Standard Prestasi yang disediakan atau berdasarkan rubrik sesuatu tugasan.

• Pengesanan PBS adalah proses memastikan kekuatan dan keberkesanan instrumen pentaksiran dalam pelaksanaan PBS.

8. Bagaimana ibu bapa mendapat maklum balas mengenai perkembangan pembelajaran anak-anak mereka?

Laporan deskriptif dan formatif dapat dibuat melalui SPPBS pada bila-bila masa sekiranya diperlukan. Sistem ini juga menyimpan maklumat perkembangan murid daripada Tahun 1 hinggalah ke Tingkatan 5 (life-time data base).

9. Bagaimana hasil pentaksiran berguna untuk murid?

Maklum balas yang diberi berdasarkan standard prestasi boleh membantu murid mengenalpasti kekuatan, kelemahan, kesilapan dan apa yang perlu dibaiki, bagaimana perlu diperbaiki untuk memberi hasil yang lebih baik.

Maklum balas yang memberi makna boleh membantu murid tentang tujuan dan perkembangan pembelajaran mereka. Keadaan inilah yang memberi motivasi untuk mencuba lagi bagi meningkatkan prestasi mereka di masa hadapan.

10. Apakah nilai UPSR dan PMR dalam PBS?

PBS untuk penambahbaikan UPSR dan PMR masih tetap bernilai dari segi pembentukan modal insan yang holistik tetapi tidak lagi high stake kerana pentaksiran dijalankan secara berterusan dan menyeluruh.

11. Bolehkah pentaksiran yang dibuat guru dipercayai?

Guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka:

- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid
- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan murid
- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi

12. Apakah guru sudah bersedia untuk melaksanakan PBS?

Setiap guru merupakan guru terlatih yang mempunyai asas pengajaran dan pembelajaran tetapi akan diberi pendedahan semula tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah.



- Mummy Ira -

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!