Kisah Umar Abdul Aziz Dan Anaknya

By Zahirah Dzahir - 11/21/2013 05:26:00 PG

اَلسَّلامُ عَلَيْكُم

Cuba renungkan kisah di bawah dan bandingkan dengan sikap pemimpin sekarang dengan anak-anak mereka.

Cuaca yang panas, matahari memancar terang sejak pagi, setelah selesai bermain anak bongsu Khalifah Umar Abdul Aziz merasa lapar dan meminta makanan dari ibunya. Namun ketika itu isteri khalifah Umar, Fatimah belum memasak apa-apa.


“Pergilah berjumpa dengan ayahmu di Baitulmal, mungkin dia dapat memberikan kamu sesuatu yang dapat dimakan,” kata Fatimah.

Si anak terus berlari riang menemui ayahnya. Ketika itu dia melihat ayahnya Khalifah Umar bersama beberapa orang pegawai sedang menimbang sejumlah buah epal untuk diberikan kepada yang layak.

Tiba tiba si anak masuk dan terus menuju ke arah longgokan epal dan terus mengambil sebiji epal untuk dimakannya. Khalifah Umar melihat tindakan anak kesayangannya dan segera merebut epal itu dari mulut anaknya sehingga anaknya menangis lalu berlari pulang ke rumah.

“Wahai Amirul Mukminin, anakmu sedang lapar, kita masih mempunyai simpanan buah epal yang banyak untuk diberikan kepada orang ramai, sekiranya hilang sebiji, tentu tidaklah ia menyebabkan kerugian,” kata Sahal, adik Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang turut berada di situ dan menyaksikan kejadian tersebut.

Sahal, tidak sampai hati melihat anak saudaranya yang sedang lapar itu menangis ketika sebiji epal yang hendak dimasukkan ke dalam mulut yang direbut oleh ayahnya.

Khalifah Umar hanya berdiam diri mendengar kata-kata adiknya ini. Hatinya sendiri ketika itu gelisah. Dia terpaksa memilih antara keredhaan Allah dengan keinginan anak kesayangannya. Dia memilih mengutamakan keredhaan Allah.

Setelah selesai kerjanya di Baitulmal, Khalifah Umar Abdul Aziz segera pulang ke rumah. Dia menemui anaknya, dia memeluk dan mencium buah hatinya serta dia juga mencium bau buah epal dari mulut anak bongsunya itu. Khalifah Umar segera memanggil isterinya, Fatimah.

“Wahai Fatimah, dari mana kamu dapatkan buah epal untuk anak kita?” tanya Khalifah Umar.

“Anak itu sedang kelaparan tadi, dan dia teringin sekali memakan buah epal, lalu saya belikannya sebiji di pasar, epal itulah yang dimakannya untuk menahan rasa lapar,” jawab Fatimah.

Dengan wajah lapang dan sambil menangis Khalifah Umar pun bercerita kejadian tadi berkenaan anaknya sambil berkata,”Wahai isteriku Fatimah, ketika aku merebut buah epal itu dari mulut anak kita, benar-benar aku merasakan seperti merengut jantung aku sendiri. Apakan daya kerana aku sangat takut api neraka yang akan membakar anak kita, jadi aku rebut buah epal itu dari mulutnya”.

Begitulah seorang hamba Allah, seorang khalifah , mukmin muttaqin, yang menunjukkan sikap amat berhati-hatinya, yang mengharapkan seluruh keluarga bahkan rakyatnya untuk mencapai syurga Allah. Beliau sangat bimbang sekiranya benda haram menjadi darah daging anak dan keluarganya. Wallahua’lam…





http://blogtokwan.blogspot.my/2012/06/kisah-umar-abdul-aziz-dan-anaknya.html

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!